Minggu, 24 Juni 2012

Krisis PKR perlu jadi iktibar


AHMAD Zahid Hamidi menyampaikan bantuan kepada seorang penerima pada program Gempur Kesejahteraan Rakyat di Bagan Datoh, semalam.
BAGAN DATOH 23 Jun - Rakyat Selangor wajar mengambil iktibar daripada krisis dalaman serius yang membelenggu pemerintahan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) selama hampir empat tahun sehingga menyebabkan negeri itu gagal diurus tadbir dengan baik.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat perlu membuat analisis secara objektif bagaimana krisis kepimpinan PKR di negeri itu menyebabkan pelbagai kepincangan sehingga menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri.
''Dulu mereka (PKR) menuduh BN (Barisan Nasional), tetapi bila diberikan mandat oleh rakyat selama empat tahun, rakyat sedar bahawa apa yang dilakukan bukan bertambah baik daripada BN, sebaliknya mencerminkan kejelikan yang berlaku dalam pentadbiran mereka," katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan dan Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Gempur Kesejahteraan Rakyat yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Perak, Datuk Chong Phaik Kee di sini hari ini.
Beliau mengulas peletakan jawatan secara mengejut Rafizi Ramli sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, dipercayai ekoran pertembungan politik dua kem membabitkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengerusi PKR negeri, Azmin Ali.
Sementara itu, beliau turut kesal dengan tindakan Pas bersekongkol dengan PKR untuk membantah pembinaan sekolah agama rakyat (SAR) Taman Pegoh Aman di Ipoh.
Menurut beliau, parti itu sepatutnya tampil mempertahankan pembinaan SAR yang amat diperlukan demi pendidikan agama anak-anak penduduk majoriti Islam di kawasan tersebut.
Malahan, tegas beliau, sekolah tersebut juga dibangunkan kerajaan negeri atas permintaan dan permohonan penduduk setempat yang mahukan anak- anak mereka mendapat pendidikan agama lebih baik.
Google Ads

 
About - Contact Us - Sitemap - Disclaimer - Privacy Policy
Back To Top