KUALA LUMPUR 6 Julai - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Czech Vaclav Klaus di hotel penginapannya di sini.
Dr. Mahathir yang tiba pada 9 pagi ini meluangkan masa kira-kira setengah jam bertemu klaus.
Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas selaku menteri pengiring.
Dr. Mahathir ketika ditemui pemberita kemudian, berkata beliau pernah bertemu Klaus pada 1996 yang ketika itu merupakan Perdana Menteri republik berkenaan dan sering berbincang mengenai pembangunan antara kedua-dua negara.
"Malaysia dan Republik Czech mempunyai banyak persamaan, antaranya dulu mereka juga menolak pinjaman dari Tabung Kewangan Antarabangsa seperti Malaysia," katanya. - BERNAMA
